kebahagiaan..

Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers

1/9/10

Sistem Ekonomi Islam & konvensional (1)



Sistem ekonomi Islam dan sistem ekonomi konvensional : Suatu perbandingan


Abstrak

Kertas ini cuba meninjau mengenai perbezaan asas antara sistem ekonomi Islam dan sistem ekonomi konvensional terutamanya dari segi sumber, matlamat dan aktiviti. Perbezaan asas ini telah membawa implikasi yang besar terhadap masyarakat dan negara.

Berdasarkan takrif ini bolehlah dikatakan bahawa konvensional adalah suatu perkara yang sudah diterima pakai dan dipraktikkan di dalam sesebuah masyarakat. Oleh itu apabila dihubungkan dengan ekonomi, maka sistem ekonomi konvensional bolehlah dikatakan sebagai suatu sistem ekonomi yang sudah dipraktikkan secara meluas di dalam sesebuah masyarakat.

Berdasarkan maksud ini ianya bolehlah dikatakan sebagai suatu sistem yang ditentukan oleh manusia di dalam sesebuah masyarakat yang tidak mempunyai piawai yang mutlak tetapi bersifat anjal dan boleh berubah mengikut ketentuan masyarakat. Disebabkan ianya merupakan sistem manusia yang tidak tetap maka sudah tentulah ianya berbeza dengan Islam yang mempunyai piawai yang tetap iaitu bersumberkan wahyu di dalam kesemua bidang termasuklah ekonomi.

Di dalam sejarah dunia, terdapat beberapa sistem ekonomi konvensional yang begitu berpengaruh antaranya:

Kapitalisme

Sistem ini dikenali sebagai sistem perusahaan bebas. Di bawah sistem ini seseorang individu berhak menggunakan dan mengawal barang-barang ekonomi yang diperolehinya. Mencegah orang lain dari menggunakan barang-barang itu dan memutuskan bagaimana barang-barang itu diuruskan setelah dia mati.

Dalam hal ini individu bebas berbuat apa sahaja dengan harta kekayaannya asal sahaja kegiatannya tidak mengganggu hak orang lain. Oleh kerana hak-hak memiliki harta dibenarkan oleh masyarakat, keseluruhannya hak-hak ini boleh dibatasi melalui tindakan masyarakat.

Persaingan dianggap sebagai daya penggerak untuk menghasilkan operasi yang cekap. Pada umumnya persaingan dalam sistem kapitalis ini merupakan daya yang kuat dan dibenarkan berjalan lebih bebas berbanding dengan sistem-sistem ekonomi yang lain.

Sifat-sifat istimewa sistem ini ialah:

1.Ia menolak nilai-nilai akidah, syariat dan akhlak yang mulia

2.Pengambilan riba iaitu peminjaman wang melalui institusi kewangan (bank dan industri kredit) yang mengenakan riba (faedah)

3.Faktor-faktor ekonomi dikuasai oleh individu-individu tertentu secara terus menerus atau dipunyai oleh sekumpulan manusia yang tidak dikenali melalui sistem saham

4.Pemodal-pemodal bank yang besar mempunyai kuasa yang berlebihan ke atas aktiviti-aktiviti ekonomi dan seterusnya politik negara. Kuasa penentu dalam sistem kapitalisme dan demokrasi barat kebanyakannya mirip kepada pemilik modal

5.Sebahagian besar dari barang-barang dan perkhidmatan yang dihasilkan di bawah sistem kapitalisme telah dibebankan bukan sahaja dengan faedah-faedah riba, tetapi juga dengan bayaran-bayaran pengiklanan yang berlebihan

6.Kapitalisme mempunyai unsur-unsur mengasas monopoli, kerana adalah menjadi hasrat setiap pemodal untuk menguasai segalanya dan menghapuskan semua persaingan dengannya

Sosialisme

Kegelojohan dan ketamakan kapitalis yang luar biasa itu menghasilkan kezaliman ke atas masyarakat. Kezaliman ini melahirkan ketegangan yang meluas di Barat. Kelahiran sosialisme mula mendapat sambutan dan begitu laris. Prinsip sosialisme adalah:

1.Mengembalikan kuasa ekonomi daripada golongan Borjuis (kapitalis) kepada golongan proliter (petani dan buruh)

2.Menyerahkan semua sumber alam dan sumber ekonomi kepada negara untuk diagihkan sama rata kepada rakyat

Di bawah sistem sosialisme, hakmilik kerajaan ke atas sumber dihadkan kepada tanah dan modal yang digunakan secara besar-besaran. Industri-industri besar dimiliki dan dikawal oleh negara manakala kebanyakan perniagaan kecil dimiliki oelh individu.

Secara umumnya, individu dalam sebuah negara sosialis memiliki dan menguasai lebih banyak harta berbanding dengan individu di bawah sistem komunisme tetapi sangat kurang berbanding dengan milik individu di bawah sistem kapitalisme.

Oleh kerana di bawah sistem sosialisme banyak industri dimiliki dan dijalankan oleh negara, maka kebebasan menjalankan aktiviti hanya terdapat dalam kerja-kerja yang dijalankan oleh persendirian. Para pekerja masih bebas memiliki pekerjaan, namun begitu peluang untuk menjadi ahli perniagaan dan mencari keuntungan sangat kecil berbanding dengan sistem kapitalisme.


Komunisme

Sosialisme berjuang untuk mengembalikan kuasa ekonomi kepada golongan proliter secara demokrasi dan sederhana. Walau bagaimanapun sehingga menjelang perang Dunia Ke-2 (1940-1945) ia kurang berkesan mencapai matlamatnya. Pendekatan baharu menggunakan kekerasan dicadangkan iaitu dikenali sebagai komunisme. Ianya mendapat sambutan di Barat sesudah kegagalan sosialisme dalam revolusi Perancis, yang bermotokan persamaan (equality), kemerdekaan (liberty) dan persaudaraan (fretinity).

Sistem komunis merupakan satu sistem ekonomi sosialis yang radikal dan satu doktrin politik yang diasaskan oleh Karl Marx. Menerusi sistem ini, semua tanah dan modal sama ada yang asli atau buatan manusia, berada di tangan negara sepenuhnya. Rakyat akan menerima pendapatan menurut keperluan mereka, bukan mengikut kebolehan mereka.

Sebenarnya tidak ada perbezaan pokok antara fahaman sosialis dengan komunisme. Guru bagi kedua fahaman tersebut adalah Karl Marx. Tujuan utama penganjur sosialisme ialah untuk menegakkan kerajaan dictator oleh sosialis: Karl Marx mengarahkan agar semua komunis mestilah bekerja untuk mengasaskan fahaman sosialisme.

Oleh itu penganjur komunis Rusia telah menamakan negara mereka ‘Union of Soviet sosialist Republic’ bukannya ‘Union of Soviet Communist Republic’. Dalam ‘The Communist Manifesto’ Karl Marx menyatakan bahawa revolusi proletariat akan mengasaskan pemerintahan dictator pekerja-pekerja sosialis. Untuk itu tiga perkara diperlukan:

1.Menghapuskan semua hak milik persendirian

2.Menghapuskan unit keluarga

3.Menghapuskan segala agama


Oleh : Sabri Haron..

No comments: