kebahagiaan..

Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers

1/6/10

Isu Kalimah ALLAH. Satu Kajian..




ISU KALIMAH ALLAH - satu kajian - Solleh Al-Fatimi

5 Januari 2010

PENDAHULUAN

Isu tuntutan kalimah Allah oleh orang-orang Kristian semakin hangat dibincangkan. ia bermula apabila Herald Catholic Weekly menggunakan kalimah suci ini dalam penerbitan mereka. Pelbagai pihak telah memberi pandangan dan ulasan terhadap isu ini. ada yang menyokong serta ada pula yang tidak bersetuju sama sekali kalimah suci ini digunakan sewenang-wenangnya oleh bukan Islam.

Perselisihan pendapat bukan sahaja berlaku dikalangan masyarakat, bahkan melibatkan sarjana kedua agama terbesar di dunia hari ini iaitu Islam dan Kristian. Justeru, risalah kecil ini cuba sedaya upaya mungkin untuk menekuni permasalahan ini dengan berpandukan kepada dalil-dalil dan maslahat setempat.

PENDAPAT ULAMA’

Sebahagian ulama’ berpendapat bahawa harus menggunakan perkataan Allah bagi orang-orang bukan Islam. Walaupun begitu, kebanyakan ulama mengharamkan penggunaannya berdasarkan realiti dan waqi’ di Malaysia. Risalah ini akan cuba membincangkan kedua-dua hujah berkenaan dalam konteks penggunaan dansemangat Bahasa Malaysia itu sendiri di Malaysia ini.

HUJAH YANG MEMBOLEHKAN / MENGHARUSKAN

Antara ulama’ yang menyokong dan membolehkan penggunaannya ialah Syeikh Fauzi al-Zafzaf, iaitu bekas Timbalan Rektor al-Azhar yang sekarang ini menjawat jawatan sebagai Pengerusi Jawatankuasa Dialog Antara Agama Universiti al-Azhar.

Mereka yang berpendapat bahawa kalimah suci ini adalah harus penggunaannya dikalangan bukan Islam telah mengemukakan 2 hujjah. Pertama hujah daripada al-Quran, dan keduanya daripada logik akal serta bahasa. Antara hujah mereka ialah:


PERTAMA: Hujah daripada al-Quran

1. Firman Allah s.w.t dari Surah al-Ankabut,29:61 (teks asal ayat, sila rujuk al-Quran)

maksudnya; “Dan sesungguhnya jika engkau (Wahai Muhammad) bertanya kepada mereka (yang musyrik) itu: “Siapakah yang menciptakan langit dan bumi ini, dan yang memudahkan matahari dan bulan (untuk faedah makhluk-makhluk-Nya)?”. Sudah tentu mereka akan menjawab; “Allah”. Maka bagaimana mereka tergamak dipalingkan (oleh hawa nafsunya daripada mengakui keesaan Allah dan mematuhi perintah-Nya)?”.

Wajah istidlal (cara pendalilan) di dalam ayat ini menunjukkan tentang keharusan menggunakan nama Allah kerana golongan kafirin di dalam ayat ini turut menggunakannya.

2. Firman Allah s.w.t dari Surah Luqman,31:25

maksudnya; “Dan sesungguhnya jika engkau (Wahai Muhammad) bertanya kepada mereka (yang musyrik) itu; “Siapakah yang menciptakan langit dan bumi?”. Sudah tentu mereka akan menjawab; ” Allah”. Ucapkanlah (wahai Muhammad): “Alhamdulillah” (sebagai bersyukur disebabkan pengakuan mereka yang demikian – tidak mengingkari Allah), bahkan kebanyakan mereka tidak mengetahui (hakikat tauhid dan pengertian syirik).

Wajah istidlal daripada ayat ini jelas menunjukkan jawapan yang diberi oleh orang kafir bahawa Allah-lah yang menciptakan makhluk-Nya.

3. Firman Allah s.w.t dari Surah Zukhruf,43:9

maksudnya: “Dan demi sesungguhnya! Jika engkau (wahai Muhammad) bertanya kepada mereka (yang musyrik) itu: “Siapakah yang menciptakan langit dan bumi?” Sudah tentu mereka akan menjawab; “yang menciptakannya ialah Allah yang Maha Berkuasa, lagi Maha Mengetahui”.

Wajah istidlal daripada ayat ini juga menunjukkan bahawa pencipta langit dan bumi adalah Allah dan inilah yang diucapkan oleh orang kafir.

KEDUA: Hujah (yang mengharuskan) daripada Logik Akal dan Bahasa

1. Mereka yang mengharuskan penggunaan kalimah ini di kalangan bukan Islam berhujjah dengan menyatakan bahawa lafaz Allah sudah pun wujud dan digunakan sebelum kedatangan Islam. Ini berdasarkan kepada nama bapa Rasulullah s.a.w. sendiri yang bernama Abd Allah.

2. Lafaz Allah juga digunakan oleh orang-orang Yahudi dan Nasrani sebelum kedatangan Islam lagi. Ini berdasarkan dalil al-Quran menerusi surah al-Taubah (9:30) yang mengakui bahawa orang-orang Yahudi telah menyatakan ‘Uzair itu anak Allah. Manakala bagi orang-orang Nasrani pula mengakui bahawa al-Masih (Isa a.s) adalah anak Allah.

3. Lafaz Allah juga wujud dan turut digunakan di dalam kitab Bible berbahasa Arab. (al-Kitab al-Muqaddas). Sebagaimana yang tertulis di dalam beberapa tempat. Antaranya dalam Perjanjian Lama, alTaqwim 1:1. yang jelas menyebut dengan jelas:

في البدء خلق الله السموات والارض
Atas alasa inilah mereka mendakwa lafaz Allah bukan milik eksklusif untuk umat Islam sahaja.

4. Hujah mereka yang mengatakan bahawa lafaz Allah ini berasal dan hampir sama bunyinya dari kalimah Eloh yang merupakan panggilan terhadap Tuhan dalam bahasa Yahudi.


HUJAH YANG MENGHARAMKAN

Terdapat ramai dikalangan ulama’ yang mengharamkan penggunaan nama Allah bagi orang-orang bukan Islam. Antara mereka ialah Penasihat Undang-Undang Kementerian Kehakiman Arab Saudi; Syeikh Abdul Muhsin al-Abikan. Mereka telah mengutarakan hujah-hujah pengharaman disamping menjawab hujah-hujah golongan yang menharuskan penggunaannya. Di sini akan dinyatakan hujah dan alasan pengharaman tersebut. Antaranya:

PERTAMA:

1. Lafaz Allah yang dimaksudkan dalam Islam mempunyai sifat ‘Ahadiyyah’ dan ‘Somadiyyah’-Nya sebagaimana firman Allah s.w.t: “Katakanlah (Wahai Muhammad): “(Tuhanku) ialah Allah Yang Maha Esa. Allah yang menjadi tumpuan sekalian makhluk untuk memohon sebarang hajat”. (Surah al-Ikhlas,112: 1-2)

Ia amat berbeza dengan kefahaman Ahli Kitab di dalam memahami dan mentafsirkan lafaz Allah itu sendiri.

Hamka dalam tafsirnya (Tafsir al-Azhar) 30/302 dengan menukilkan Tafsir Abu Suud telah berkata: “Diulangi nama Allah sampai dua kali (ayat 1 dan 2) dengan kejelasan bahawa Dia adalah Esa, Tunggal, Dia adalah tempat pergantungan segala makhluk, supaya jelaslah bahawa yang tidak mempunyai kedua sifat pokok itu bukanlah Tuhan. Dalam ayat pertama ditegaskan keesaan-Nya untuk menjelaskan bersih-Nya Allah dari berbilang dan bersusun dan pada-Nya terkumpul segala sifat kesempurnaan. Dia tempat bergantung, tempat berlindung, bukan Dia yang mencari perlindungan kepada yang lain, Dia tetap ada dan kekal dalam kesempurnaan-Nya serta tidak pernah berkurang”.

2. Berdasarkan firman Allah s.w.t. (Surah at-Taubah,9:30)

“Dan orang-orang Yahudi berkata: “Uzair ialah anak Allah” dan orang-orang Nasrani berkata: “Al-Masih ialah anak Allah”. Demikianlah perkataan mereka dengan mulut mereka sendiri, (iaitu) mereka menyamai perkataan orang-orang kafir dahulu, semoga Allah binasakan mereka. Bagaimanakah mereka boleh berpaling dari kebenaran?”.

Wajah istidlal daripada ayat ini ialah pada maksud firman Allah iaitu: ‘Demikianlah perkataan mereka dengan mulut mereka sendiri, (iaitu) mereka menyamai perkataan orang-orang kafir dahulu, semoga Allah binasakan mereka. Bagaimanakah mereka boleh berpaling dari kebenaran?”

Di dalam ayat ini, Allah s.w.t menegaskan bahawa orang-orang Yahudi dan Nasrani telah memfitnah Allah dengan menyatakan bahawa Allah mempunyai anak iaitu Uzair dan juga al-Masih. Bagi menolak fitnah ini, Rasulullah s.a.w diperintahkan untuk menyatakan bahawa Allah s.w.t bukanlah seperti yang didakwa oleh orang-orang Yahudi dan nasrani menerusi firman Allah s.w.t. melalui Surah al-Ikhlas 112:1-4.

“Katakanlah (Wahai Muhammad): “(Tuhanku) ialah Allah Yang Maha Esa. Allah yang menjadi tumpuan sekalian makhluk untuk memohon sebarang hajat. Ia tiada beranak, dan ia pula tidak diperanakkan. Dan tidak ada sesiapa pun yang serupa dengan-Nya”.

Maka setelah Rasulullah s.a.w membersihkan maksud kalimah dari mulut orang-orang Yahudi dan nasrani, wajarkan Muslim hari ini memberi kebenaran untuk mereka mengguna kembali lafaz suci ini (Allah s.w.t)?

3. Sebenarnya lafaz Allah juga tidak pernah wujud di dalam bahasa asal penulisan kitab Taurat dan kitab Bible. Sebagaimana yang kita maklum, Kitab Taurat ditulis di dalam bahasa Ibrani (Hebrew) manakala kitab Bible pula ditulis di dalam bahasa Greek (Yunani).

4. Hujah mereka yang menyatakan bahawa kalimah Allah terdapat di dalam al-Kitab iaitu Bible terjemahan bahasa Melayu dan juga Al-Kitab Al-Muqaddas iaitu Bible terjemahan Bahasa Arab juga tidak dapat diterima kerana lafaz Allah yang digunakan di dalam kedua-dua Bible tersebut jelas membawa maksud yang berbeza. Ini adalah kerana Allah yang dimaksudkan oleh kedua-dua Bible tersebut jelas menunjukkan kepada akidah Triniti (tiga dalam satu) yang meyakini bahawa Bapa di Syurga ialah Allah, manakala Nabi Isa (Jesus) adalah anaknya dan Ruhul Qudus pula merupakan salah satu oknum daripada tida oknum Triniti tersebut.

Ini dapat diperhatikan menerusi dalil-dalil daripada kitab Bible mereka yang menyebut di beberapa tempat antaranya di dalam Perjanjian Baru, Markus 13:32: “Meskipun demikian, tidak seorang pun mengetahui hari atau waktunya, baik malaikat-malaikat di Syurga ataupun anak (Yesus); hanya bapa yang tahu.

Dalam Lukas 23:46 juga menyebut: “Lalu Yesus menyeru dengan suara lantang, “Ya Bapa, Aku serahkan diriKu ke dalam tanganMu!” Setelah berkata demikian, Dia pun meninggal dunia”.

Konsep Triniti ini juga mendapat perhatian secara jelas melalui Perjanjian Baru, 1 Yohanes 5:7-8 yang menyebut: “Ada tiga saksi: Roh Allah, air dan darah, dan ketiga-tiganya memberi kesaksian yang sama”.

Di dalam Perjanjian Baru, Matius 3:16-17 juga menyebut: “Setelah Jesus dibabtis, Dia keluar dari sungai itu. Tiba-tiba langit terbuka dan Jesus nampak Roh Allah turun seperti burung merpati ke atas-Nya. Kemudian terdengarlah suara Allah berfirman, “Inilah anak-ku yang aku kasihi. Dia menyenangkan hatiku”.

Di dalam Perjanjian Baru, Lukas 3:21-22 juga menyebut: “Setelah semua orang dibaptis, Jesus juga dibabtis. Ketika Dia berdoa, langit terbuka, dan roh Allah berwujud burung merpati turun keatasNya. Lalu terdengar satu suara dari Syurga mengatakan: “Engkaulah anak-Ku yang Aku kasihi. Engkau menyenangkan hatiKu”.

Menerusi dalil-dalil yang telah dinyatakan ini, jelaslah bahawa lafaz Allah yang telah digunakan oleh mereka di dalam Bible membawa maksud yang amat berbeza dengan keyakinan Islam.

5. Dalam bahasa Ibrani, lafaz Tuhan disebut sebagai Elohim dan YHWH. Namun YHWH merupakan nama yang terlalu hebat bagi Tuhan dan tidak boleh disebut sewenag-wenangnya. Perkataan ini telah diganti sebagai ADONAI. ini dapat diperhatikan menerusi Perjanjian Baru, Matius bab 27, ayat 45 hingga 50 yang berikut: “Pada tengah hari selama tiga jam, seluruh negeri itu menjadi gelap.

Pada pukul tiga petang, Jesus berseru dengan suara lantang, “Eli, Eli lama Sabakhtani?” yang bermaksud “Allah, Allah mengapa Engkau tinggalkan aku?” beberapa orang di situ mendengar seruan Jesus lalu berkata: “Dia memanggil Elia”. Seorang dari mereka mengambil bunga karang, lalu mencelupkannya ke dalam wain murah. Kemudian bunga karang itu dicucukkannya pada sebatang kayu, lalu di hulurkan ke mulut Jesus. Tetapi orang lain di situ berkata, “Tunggu, mari kita lihat kalau-kalau Elia datang menyelamatkan dia”. Kemudian Jesus berseru lagi dengan nyaring lalu menghembuskan nafas terakhirnya”.

Kalimah Eli ini juga turut digunakan di dalam perjanjian baru. Kitab Markus, bab 15, ayat 33-37.

6. Dalam bahasa Greek (Yunani) pun tidak terdapat lafaz Allah. Lafaz Tuhan dalam bahasa Greek disebut Theos. Sekiranya Tuhan yang disembah oleh mereka merupakan Tuhan yang sebenar, Theos ini dipanggil Hotheos. Dan sekiranya merujuk kepada bukan tuhan yang sebenar, maka dia dipanggil sebagai Tontheos.

7. Sekiranya lafaz Allah terdapat di dalam Kitab Bible berbahasa Arab (Al-Kitab Al-Muqaddas) sebagaimana yang dijadikan hujah oleh mereka, ini adalah semata-mata kerana penterjemah dan penggunaan secara warisan sahaja tanpa mereka memahami maksud sebenar lafaz al-Jalalah (Allah s.w.t) tersebut.

8. Dari sudut kaedah Fiqhiyyah iaitu Sad al-Zarai’, tindakan kerajaan yang melarang penggunaan kalimah suci ini adalah tepat. Ini kerana jika dibiarkan orang bukan Islam turut menggunakan kalimah ini, maka kesucian serta sifatnya yang muqaddas tidak dapat dipertahankan dan dipelihara dengan sebaik mungkin. Bahkan seperti yang telah kita maklum, fahaman mereka terhadap lafaz Allah adalah berlainan sama sekali dengan kefahaman umat Islam.

9. Perlu diketahui perkataan Allah itu sendiri mempunyai partikel ‘al’ iaitu ‘al-ilah’ yang merujuk kepada ‘The Only God’. (Keesaan)

10. Penulis Marshal G.S Hodgson dalam bukunya The Venture of Islam: Conscience and History in a World Civilization secara jelas menolak penggunaannya di kalangan penganut Kristian dengan menyebut bahawa terma ‘Allah’ yang digunakan oleh Muslim yang berbahasa Inggeris adalah merujuk kepada Tuhan dalam Islam sahaja. Bahkan Hodgson turut menyebut bahawa orang-orang Islam menyembah Tuhan bernama Allah yang bukan semata-mata bermaksud Tuhan sebagai pencipta!


KEDUA: Jawapan hujah pertama

Hujah yang mereka gunakan daripada ayat al-Quran: Surah al-Ankabut 29:61, Surah Luqman 31:25 dan Surah al-Zukhruf 43:9.

Imam al-Maraghi berkata dalam tafsirnya, Tafsir al-Maraghi, jilid 11, m/s 5284:

“Sebenarnya mereka mengetahui, Allah s.w.t yang mencipta langit dan bumi serta menundukkan matahari dan bulan. Walaupun mereka mengakui keesaan-Nya tetapi mereka masih menyembah selain daripada-Nya. Sepatutnya Dialah yang mesti disembah kerana Dialah satu-satunya yang berhak disembah. Banyak disebut dalam al-Quran tentang Tauhid Uluhiyyah selepas menyebut Tauhid Rububiyyah. Tujuan disebut itu bagi mengakui Allah s.w.t sebagai pencipta dan penjaga alam semesta, sekaligus mengakui Allah s.w.t sebagai satu-satunya Tuhan yang berhak disembah, dipatuhi dan ditaati”.

Untuk mengetahui “Penjelasan Berkenaan Lafaz ALLAH dan Maknanya” secara terperinci. Nantikan pada pertemuan seterusnya.

salam dari solleh-alfatimi.

*Dipetik dari buku “Isu Kalimah Allah Dan Hukum Penggunaannya Bagi Bukan Islam”, oleh Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri dan Ustaz Rashidy Jamil Muhammad ar-Rasyid. m/s 1-10

SUMBER:TRANUNGKITE

1 comment:

Anonymous said...

Assalamualaikum.
Kenapa tiada pelajar Al-Azhar yang membuat memorandum dan hantar kepada majlis agama setiap negeri berkaitan isu nama ALLAH?Majlis agama yang memberi respons dengan membangkang penggunaan nama ALLAH hanya Selangor,K.Lumpur,Johor dan Kelantan. Isu nama ALLAH timbul di Malaysia disebabkan alasan negara Arab menggunakan nama ALLAH untuk agama lain. Pendapat anda?Kenapa tiada pelajar agama Al-Azhar yang memberikan pendapat atau memorandum kepada pihak berkuasa seperti majlis agama atau sultan atau menteri besar?