kebahagiaan..

Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers

6/26/09

هذا رسول الله هذا حبيب الله





Telah diriwayatkan drpd Aisyah bhw dia telah berkata :" Sedang aku menjahit baju pada waktu sahur ( sblm subuh ) maka jatuhlah jarum daripada taganku, tiba2 kebetulan lampu pun padam, lalu masuklah Rasulullah s.a.w. Ketika itu juga aku dapat mengutip jarum itu kerana cahaya wajahnya, lalu aku berkata, " Hai Rasulullah, alangkah bercahayanya wajahmu! Seterusnya aku bertanya : "Siapakah yg tidak akan melihatmu pd hari qiamat?" Jawab Rasulullah : " Org yg bakhil." Aku bertanya lagi : " Siapakah org yg bakhil?" Jawab baginda : " Org yg ketika disebut namaku di depannya, dia tidak mengucap selawat ke atasku."

Ayuh teman-teman kita perbanyakkanlah berselawat ke atas junjungan besar Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wassalm agar di akhirat kelak kita tidak digolongkan dalam golongan yang bakhil, malah lebih rugi lagi kita tidak akan diberi peluang untuk melihat Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam..

Di dalam kitab Ibnu Farhun Al Qurthubi dinyatakan bahawa membaca selawat kepada nabi mengandungi sepuluh faedah dan mendatangkan kemuliaan, iaitu :
  1. Memperolehi selawat dari Allah.

  2. Memperolehi syafaat dari Nabi Muhammad.

  3. Mendapat pimpinan dari malaikat yang baik-baik.

  4. Menghapuskan dosa.

  5. Mendapat pertolongan

  6. Tercapai keperluan hidup.

  7. Mempunyai pembeza dengan orang munafik dan kafir.

  8. Memperolehi nur zahir dan batin.

  9. Mendapat keselamatan dari azab neraka, membolehkan memasuki syurga.

  10. Memperolehi ucap selamat dari Allah.


Alangkah bahagianya mereka yang dapat menatapi wajah suci baginda Rasulullah di akhirat kelak.. Ya Allah Ya Tuhan kami kurniakanlah kepada kami peluang untuk bersama-sama dengan kekasih Mu di Akhirat kelak..aminnn



هذا رسول الله
هذا حبيب الله

هذا رسول الله قال سلامـا :: والكونُ ردَّد قولهُ فَتَسَامى
صلَى عليهِ اللهُ فهـو محمدُُ :: جَلَّى هُداه عنِ القُلوب ظلامـا

يارسول الله
يا حبيب الله

الغُصنُ مالَ إلى الحبيبِ حناناََ :: وعَلا النحيبُ لِحُسنِهِ تَحنانا
حتَّى أتاهُ المصطفى مُتَرَفِّقَــا :: ألقى علَيه سكينة وأمَـانا

يا رسول الله
يا حبيب الله

هذا الأمين الصادقُ المحبـوبُ :: رفَّت لهُ بين الضُّلـوعِ قُـلوبُ
واشوقَ قلبي حِين يحضر ذكرهُ :: الدُّمعُ يَهمي والفؤادُ يذوب

يا رسول الله
يا حبيب الله

غاب الحبيبُ وحبه ما غابا :: سَكنَ القلوبَ ونوَّر الألبابا
كل القلوب تفطرت شوقا له :: وتَتَبعت في إثره الأسباب

هذا رسول الله هذا حبيب الله



عبد الفتاح عوينات

TERUSKAN PEMBACAAN ANDA :) - هذا رسول الله هذا حبيب الله

Peperangan Tabuk




Salam perjuangan buat seluruh sahabat-sahabat, semoga kehidupan kita di bulan yang penuh dengan kebaikan ini diberkati oleh Allah swt insyaAllah. 3 hari berada di kaherah membatasi ana untuk terus mencoret beberapa cebisan warisan ulama di sini.

Jadi di kesempatan berada di rumah, cuba mencuri masa seketika untuk berkongsi bersama sahabat-sahabat lain mengenai perkara yang telah pun diketahui barangkali ataupun juga sebagai satu perkara baru bagi sahabt yang belum mengetahuinya.

Masa berganti masa, hari berganti hari, tanpa kita sedari kita telah berada di hari ketiga dalam bulan Rejab, bulan yang di katakan sebagai bulan Allah juga sebagai satu bulan yang penuh dengan sejarah Islam yang tercatat di dalamnya seperti yang telah ana coretkan pada post yang lalu.

Mungkin pada kali ini ingin berkongsi cerita mengenai salah satu peristiwa besar yang telah berlaku dalam bulan rejab iaitu peperangan Tabuk yang ana petik dari buku hasil karangan Syekh Dr Ramadhan Al Buthi " Feqh Sirah"

Peperangan Tabuk merupakan peperangan yang terakhir yang telah disertai oleh Rasulullah S.A.W sepanjang hayat baginda. Ia berlaku pada bulan Rejab. Sebagaimana peperangan yang lain seperti peperangan Mu'tah dan Khaibar, ianya berlaku disebabkan oleh pengkhiatan yang dilakukan oleh kerajaan Rom terhadap pendakwah atau wakil Rasulullah yang ditugaskan menjalankan dakwah.

Peperangan ini bermula apabila Farwah bin 'Amru Al-Jazami yang merupakan salah seorang ketua yang dilantik oleh Rom bagi kawasan Ma'an telah dibunuh dengan disalib di dalam air . Hal ini terjadi apabila kerajaan Rom mengetahui bahawasanya dia telah memeluk agama Islam dan menjadi wakil kepada Muhammad S.A.W di dalam mengerjakan dakwah Islamiah.

Apabila Rasulullah S.A.W mengetahui mengenai pembunuhan ini maka baginda terus mengumpulkan dan mengarahkan bala tentera untuk keluar berperang di Tabuk. Tentera Rom telah menjadikan Balqa’ sebagai kubu di dalam menahan kemaraan Islam. setelah mengetahui bahwa tentera Islam akan datang menyerang mereka segera mengumpulkan tentera di bawah pimpinan Harcules. ( yang akhirnya lari ketakutan )

Rom merasa risau dengan kemaraan tentera islam ini terutama selepas mereka tewas dalam peperangan Mu’tah. Mereka melihat kemaraan ini akan menyebabkan tanah jajahan dan kawasan yang telah dikuasai oleh mereka akan tergugat begitu juga dengan pekerja, perniagaan serta penyebaran agama Kristian akan terbantut.Memang benarlah janji Allah yang mana Nurullah akan terus terang dan akan menghilangkan segala jahiliah dan kekufuran yang melata sebelum datangnya Islam.

Panggilan jihad kali ini agak berlainan dengan peperangan sebelum ini kerana Rasulullah S.A.W telah mengerahkan agar para tentera Islam untuk keluar berjihad dalam meninggikan Kalamullah yang suci dengan menjelaskan kepada tentera tujuan tersebut secara terang-terangan.

Penjelasan ini adalah disebabkab keadaan pada masa itu agak panas dan banyak masyaqqah yang berlaku. Rasulullah S.A.W telah mengarahkan agar tentera Islam bersiap sedia dengan segala kelengkapan yang ada. Rasulullah S.A.W juga mengarahkan agar para muslimin yang mempunyai kemampuan untuk mengeluarkan harta mereka untuk tujuan berjihad di jalan Allah agar bersedekah untuk tujuan tersebut sekadar yang termampu.

Antara para sahabat yang menyahut seruan itu ialah Abu Bakar yang memberi kesemua harta beliau, Umar yang memberi setengah daripada harta beliau, begitu juga dengan Uthman dan Abdul Rahman Al-‘Auf serta ramai lagi sahabat yang lain yang turut berbuat demikian. Sebelum keluar ke medan Tabuk Rasulullah telah berhadapan dengan beberapa golongan iaitu golongan yang menangis kerana tiada kelengkapan terutama tunggangan untuk turut sama ke sana.

Mereka terdiri daripada tujuh orang daripada golongan Ansar dan Bani ‘Amru bin ‘Auf.Manakala golongan kedua ialah golongan yang meminta keuzuran daripada Rassulullah dari turut serta dalam peperangan dengan alasan yang tidak diterima oleh Allah kerana mereka cukup dengan kelengkapan tetapi takut dan malas untuk berbuat demekian demi kepentingan peribadi. Mereka terdiri daripada lebih kurang 80 orang dari Bani Ghafar.

Sikap mereka dinukil di dalam al_Quran melalui ayat 90 surah at-Taubah yang mana Allah berfirman yang bermaksud :

Dan telah datang kepada nabi S.A.W mereka yang meminta keuzuran iaitu daripada golongan arab Badwi agar diberi kebenaran untuk mereka tidak turut serta ke medan peperanagn sedangakan mereka yang mendustakan Allah dan rasulNya duduk berdiam diri sahaja. Kelak orang-orang yang kufur di antara mereka kan ditimpa azab yang pedih.


Golongan yang ketiga yang menjadi musuh dalam selimut ialah golongan munafik yang diketuai oleh Abdullah bin Ubai. Mereka dibahagi kepada tiga kumpulan yang mana kumpulan pertama akan mempengaruhi tentera Islam yang lain agar tidak turut serta dalam peperangan ini dan mereka sendiri tidak menyertainya.

Sikap mereka ada tertera dalam al-Quran melalui ayat 49 yang bermaksud :

"Di anatara mereka ada orang yang berkata:'' berilah keizinan kepada kami untuk tidak turut serta dalam peperangan dan janganlah kamu membuatkan aku terjerumus ke dalam fitnah''. Ketahuilah bahawa mereka sebenarnya telah jatuh ke lembah fitnah. Dan sesungguhnya neraka jahanam itu benar-benar meliputi mereka yang kufur."

Kumpulan kedua pula akan memecahkan kesatuan di dalam tentera Islam yang bertujuan mengkhianati Rasulullah S.A.W. Perancangan jahat mereka dirakamkan dalam ayat 84 surah at-Taubah yang bermaksud :

Dan janganlah kamu sekali-kali menyembahyangkan jezayah yang mati dikalangan mereka dan janganlah kamu berdiri untuk berdoa kepada mereka di kuburnya. Sesungguhnya mereka telah kufur kepada Allah dan rasulNya dan mereka mati dalam keadaan fasik.

Golongan ketiga pula akan mereka menunggu Rasulullah untuk merasmikan masjid yang dikenali dengan Masjid Dhirar yang mana bertujuan untuk bermegah-megah, memecah belahkan hati para muslimin, asas yang membawa kepada kekufuran dan pengkhiatan kepada Islam. Rasulullah memang pada mulanya ingin solat di masjid ini tetapi setelah turunnya wahyu agar Rasulullah S.A.W manghancurkan dan merobohkan masjid ini.

Janganlah kamu bersembahyang dalam masjid ini selama-lamanya. Sesungguhnya masjid yang didirikan atas dasar taqwa iaitu masjid Quba' sejak hari pertama lagi sepatutnya kamu bersembahyang di dalamnya. Di dalamnya ada orang-orang yang ingin membersihkan diri. Dan Allah suka kepada mereka yang bersih. At-Taubah 108

Peristiwa ini memberi peringatan dan amaran kepada kita agar tidak menggunakan nama Islam untuk mengaburi kesesatan yang kita lakukan. Jika masjid yang merupakan simbol kesatuan dan kehebatan Islam pun mesti dirobohkan kerana didirikan bukan atas asas taqwa malah untuk kepentingan diri dan memecahkan perpaduan muslimin yang ikhlas berjuang untuk meninggikan kalimah Allah apatah lagi kesatuan ataupun sistem yang bersembunyi di atas nama mahu menegakkan Islam maka lebih layak lagi untuk ditentang dan ditukar kepada sistem Islam yang sejati.

Islam tidak akan dapat ditegakkan dengan menggunakan sistem sekular ataupun sebarang ideologi ciptaan manusia yang takabbur menentang kehebatan sistem yang telah ditetapkan oleh Allah malah Islam akan kembali didaulatkan melalui Islam sendiri. Sebagaimana seseorang yang mahu menanam pokok durian maka dia hendaklah menanam benih durian bukannya benih yang lain.Walaupun Rasulullah S.A.W mengetahui pengkhianatan yang hendak dilakukan oleh para munafik ini tetapi baginda tidak membunuh mereka.

Ini merupakan salah satu strategi dan mengelakkan daripada fitnah bahawa baginda membunuh sahabat sendiri. Ini mengajar kita agar tidak terburu-buru di dalam membuat keputusan agar segala natijah ataupun keputusan selepas itu menguntungkan Islam dan umatnya bukan merugikannya.

Pada mulanya tentera Islam berjumlah 30 ribu orang tetapi setelah ditolak dengan tiga golongan tadi maka ia berkurangan daripada jumlah asal. Ini merupakan ujian awal buat Rasulullah S.A.W sendiri dan tentera muslimin yang lain.

Selepas itu Rasulullah S.A.W meneruskan perjalanan menuju ke Tabuk yang mana di dalam perjalanan Allah telah meunjukkan beberapa mukjizat Rasulullah S.A.W seperti menurunkan hujan dan memenuhi lembah yang berdekatan tetapi tidak mtentera.

Begitu juga dengan mukjizat membanyakkan bekalan makanan walaupun sebelum itu agak berkurangan. Setelah sampai di Tabuk, baginda S.A.W telah menerima surat daripada raja Busra yang menyatakan bahawa mereka tidak menghantar bala tentera mereka untuk berdepan dengan tentera Islam.

Baginda telah meminta pandangan para sahabat berkenaan langkah mereka seteru dan akhirnya dengan arahan baginda para tentera muslimin tidak mara ke arah kubu tentera Rom memandangkan tiada penduduk di kawasan itu yang telah memeluk Islam. Walaubagaimanapun Rasulullah S.A.W telah membuat beberapa perjanjian dengan beberapa buah perkampungan yang berada berhampiran dengan Tabuk iaitu dengan raja Ailat yang bernama Yuhannah bin Rukbah, begitu juga dengan penduduk Khuraba' dan Azrah. M

ereka telah memberi jizyah kepada Rasulullah S.A.W. Disamping itu, Rasulullah S.A.W juga telah menghantar wakil bagi membuat perjanjian dengan qabilah-qabilah yang berada di bahagian utara Tabuk. Rasulullah S.A.W telah menghantar tentera berkuda seramai 420 orang di bawah kepimpinan Khalid bin Al-Walid untuk menawan ataupun meperjanjian dengan raja Daumah yang bernama Akidar bin Abdul Malik yang beragama Kristian. Akhirnya tentera yang diutus ini berjaya menawan Akidar dan ahli keluarga beliau .

Dengan persetujuan Akidar, maka terjadilah perjanjian antara mereka dan Rasulullah S.A.W yang mana mereka menjadi ahli zimmah dan akan membayar jizyah kepada kerajaan Islam. Peperangan Tabuk yang berlaku pada tahun 9H telah menyaksikan bagaimana tentera Islam yang keluar ke medan perang tidak menerima tentangan daripada pihak musuh bahkan tiada darah yang tumpah kerana pertempuran tidak berlaku apabila tentera Rom sendiri tidak menghantar tentera bagi menyekat kemaraan tentera Islam.

Baginda S.A.W berada di Tabuk sekitar sepuluh malam dan telah berjaya membuat perjanjian bagi meluaskan lagi pengaruh Islam di kawasan itu melalui beberapa perjanjian yang berjaya dibuat oleh Rasulullah S.A.W dengan raja-raja mereka.

Peperangan ini merupakan pembuka jalan ke arah penyebaran dan perluasan kuasa Islam ke atas kawasan yang mana selama ini dicengkam oleh kuasa Rom. Ini membuka mata kita tentang penyebaran Islam bukanlah melalui peperangan sahaja malah jalan untuk dakwah Islamiah merupakan suatu yang flaksibel. Perjanjian yang dibuat oleh Rasulullah S.A.W dengan raja-raja yang masih belum memeluk Islam pada masa itu berlainan dengan apa yang dilakukan oleh pemimpin kebanyakan negara umat Islam pada masa kini yang mana dahulu Islam yang menetapkan perjanjian dan kuffar yang tunduk pada kuasa Islam tetapi Islam tidak akan melanggar perjanjian ini walaupun mereka kuat selagi mana kuffar tidak melanggarnya.

Pada masa kini pihak kuffar yang memulakan perdamaian yang mana umat Islam mesti mematuhinya walaupun pihak kuffar seringkali melanggar perjanjian yang dibuat sehingga tanah, kuasa politik, ekonomi dan pelbagai bidang lagi yang ada pada negara tadi dirampas dan hilang dari tangan umat Islam.

Dahulu Islam memerintah kerana umat yakin dan menggunakan sistem Islam tetapi kini umat Islam terjajah di negara sendiri apabila Islam digunakan hanya pada ibadat dan tidak diletak pada tempat selayaknya terutama pada pemerintahan dan perundangan.

Satu lagi pengajaran besar yang mesti kita ambil ialah bagaimana Rasulullah S.A.W tidak membenarkan para sahabat yang lain untuk berbicara dengan tiga sahabat yang menarik diri daripada turut sama dalam peperangan Tabuk walaupun mempunyai kelengkapan tetapi akibat kepentingan diri mereka tidak berbuat demekian. Mereka ini merasa terseksa bukan sahaja tidak didekati oleh paras sahabat malah isteri-isteri mereka turut berbuat demekian kerana patuh kepada perintah Rasulullah S.A.W. Mereka ialah Kaab bin malik,Murrah bin rabi' dan Hilal bin Umayah.

Mereka merasa menyesal dengan perbuatan mereka dan begitu mengharapkan pengampunan daripada Allah Subhanahu wa Ta'ala. Pemulauan ini berlangsung selama 40 malam sehinggalah turunnya wahyu daripada Allah mengenai pengampunan terhadap mereka ini.

Ini memberi pengajaran yang besar kepada kita di dalam mengerjakan kewajipan dakwah dan jihad, kita mestilah sentiasa berusaha melakukannya tanpa ada di sana dalih untuk meninggalkannya atas alasan susah dan kepentingan diri tanpa mengira kepentingan dan maslahat Islam itu sendiri.

Kita hendaklah menanamkan di dalam diri perasaan mahu menjadi hamba kepada perjuangan di dalam meninggikan kalimah Allah bukannya menggunakan Islam untuk kepentingan diri dan apabila dirasakan Islam mengongkong diri maka kita mengatakan Islam tidak sesuai dilaksanakan melainkan pada ibadat khusus sahaja. Sebenarnya Islam tidak pernah mengongkong kebebasan penganutnya tetapi mereka yang tidak faham dan tidak yakin dengan kesempurnaan Islam yang akan merasai begitu.

"Kalau apa yang kamu seru kepada mereka merupakan keuntungan yang mudah diperolehi dan perjalanan ke arahnya tidak jauh maka mereka pasti akan menyahutnya tetapi sebaliknya matlamat itu agak jauh pada perasaan mereka. Mereka akan bersumpah dengan nama Allah : ''jikalau kami sanggup nescaya kami akan bersama menuju ke medan peperangan bersma-samamu''. Mereka sebenarnya membinasalkan diri mereka sendiri dan Allah mengetahui bahawa mereka benar-benar orang yang berdusta." At-Taubah 42

Surah at-Taubah pada kebanyakan ayatnya menceritakan mengenai peperangan Tabuk dan ia juga memaparkan bagaimana Allah begitu murka kepada mereka yang mengkhianati Rasulullah s.a.W dan Islam. Oleh itu apabila kita mahu membaca surah ini kita ditegah membaca Bismillahirrahmanirrahim.

Sirah Nabawiyyah hendaklah dibaca untuk kita mengambil iktibar dan istinbat yang sepatutnya bukan sekadar untuk tahu dan menganggap ia sebagaimana sejarah-sejarah yang lain.Kita perlu ingat bahawa kita bukan sahaja wajib mengikut hadis yang berbentuk percakapan tetapi kita juga hendaklan mengikut segala hadis yang berbentuk perbuatan Rasulullah S.A.W. daripada sirah nabawiyyah banyak terdapat pengajaran dan strategi di dalam menjalankan dakwah dan paling penting mendirikan kerajaan Islam. Sirah dijulang Ummah Gemilang.
TERUSKAN PEMBACAAN ANDA :) - Peperangan Tabuk

6/23/09

Ahlan Ya Rajab




Assalamualaikum wbt. Berabuk sudah teratak buruk ana ini, kerja tertangguh akibat imtihan yang telah berlalu membuatkan diri yang malas ini tiada masa untuk mencoret sedikit perkara yang telah diperolehi dalam sehari.

Moralnya, janganlah kita menangguh sebarang kerja yang telah dipertanggungjawapkan kepada kita, selesaikan secepat yang mungkin, kerna sifat menangguh pekerjaan adalah sifat yang tidak patut ada dalam diri seorang muslim serta akan menambahkan bebanan dirinya.

Alhamdulillah sedar tidak sedar kita kini telah hampir dengan bulan Rejab, bulan ini adalah antara bulan haram yang sentiasa dihormati semenjak dahulu lagi. Bulan Rejab pernah mencatatkan beberapa peristiwa penting dalam kalendar umat Islam terutama yang paling masyhur dan diingati ramai ialah pada bulan ini telah berlakunya peristiwa Isra’ dan Mikraj.



"Maha Suci Allah yang telah menjalankan hambaNya (Muhammad) pada malam hari dari Masjidilharam (di Mekah) ke Masjid Al-Aqsa (di Palestin), yang Kami berkati sekelilingnya, untuk memperlihatkan kepadanya tanda-tanda (kekuasaan dan kebesaran) Kami. Sesungguhnya Allah jualah Yang Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui."

Peristiwa yang telah menatijahkan banyak perkara pada umat Islam. Khususnya kewajipan mengerjakan solat lima waktu kepada seluruh umat Islam.. selepas berlalunya tahun kesedihan bagi nabi Muhammad dengan kematian insan yang tersayang Allah telah mengembirakan Baginda dengan peristiwa bersejarah ini.

Segalanya berlaku hanya dalam tempoh sepertiga malam, dari Makkah nabi dibawa ke Masjid Al-Aqsa menaiki buroq kemudian di mi'rajkan ke sidratul muntaha bertemankan malaikat Jibril. Satu peristiwa yang amat menakjubkan melampaui batasan akal fikiran manusia biasa. Namun dengan keimanan yang kuat yang kental kita wajib percaya akan peristiwa yang berlaku kerana tiada apa yang mustahil bagi Allah SWT..

Terdapat pelbagai peristiwa disepanjang perjalanan Baginda, antaranya baginda telahpun diperlihatkan akan umur dunia dengan kelibat seorang yang sangat tua. Banyangkan pada ketika nabi diperjalankan pun sudah sedemikian rupa umur dunia apatah lagi pada waktu kini, sudah pasti kita sudah terlalu hampir dengan ketibaan hari kiamat.

Tidak ketinggalan juga untuk umat Islam mengingati suatu lagi peristiwa yang amat penting ialah peperangan Tabuk yang berlaku pada bulan Rejab tahun 9H. Peperangan Tabuk meletus apabila Rasulullah s.a.w menerima berita tentang pembunuhan Farwah bin 'Amru Al-Jazami yang merupakan salah seorang ketua yang dilantik oleh Rom bagi kawasan Ma'an.

Beliau telah dibunuh dengan disalib dan direbus di dalam kawah air panas apabila Rom mengetahui dia telah memeluk agama Islam dan merupakan wakil kepada nabi Muhammad S.A.W di dalam mengerjakan dakwah Islamiah di sana. Setelah mendapat tahu tentang pembunuhan yang kejam itu lalu Rasulullah S.A.W dalam masa yang singkat telah mengerahkan agar para tentera Islam untuk keluar berjihad ke Tabuk.

Rasulullah telah menjelaskan kepada mereka tujuan tersebut secara terang-terangan dan baginda berjaya mengumpulkan sebanyak 30 000 orang tentera. Ini merupakan suatu tindakan tegas yang ditunjukkan oleh Rasulullah s.a.w dalam menjaga maslahat umat Islam daripada dirobek dan dilanggar sesuka hati oleh musuh Islam.

Dalam peperangan Tabuk ini tidak berlaku pertempuran yang besar kerana tentera musuh lebih dahulu berundur diri. Kemenangan yang agak mudah walau pun tentera muslim menghadapi banyak kesukaran ketika mahu keluar ke Tabuk ini telah digunakan sebaiknya oleh Rasulullah s.a.w dengan meluaskan pengaruh dakwah kepada raja-raja sekitar kawasan tersebut serta menghantar beberapa orang pendakwah untuk menyampaikan dakwah ke kawasan yang lebih jauh.

Oleh itu fahamlah kita bahawa peperangan dalam islam bukanlah untuk mencetuskan keganasan mahupun membalas dendam akan tetapi adalah bertujuan untuk menjaga maslahat umat islam daripada diperbodohkan serta diceroboh dengan sesuka hati oleh musuh islam, juga untuk melaksanakan misi dakwah kepada pemerintah yang dapat menerima islam.


Dan diantara peristiwa lain yang dapat kita selami dengan kedatangan bulan rejab ini ialah peristiwa hijrah umat Islam yang pertama ke Habsyah (Ethiopia). Pada ketika awal penyebaran Islam di Makkah kaum musyrikin banyak memberikan tekanan hidup kepada kaum muslimin. Mereka telah diseksa, dipulau, dicaci dan sebagainya. Hal ini menyebabkan terdapat dikalangan sahabat yang mengadu pada Rasulullah akan penderitaan yang mereka hadapi.

Lalu baginda memerintahkan mereka agar berhijrah ke Habsyah, ini bertujuan untuk menjaga keteguhan iman mereka disamping mencari tapak baru dalam proses mengembankan dakwah Islamiyah. Antara sahabat yang terlibat dalam penghijrahanini ialah saidina Othman bersama isteri beliau dan beberapa orang muslimin yang lain. Jumlah mereka adalah 14 orang lelaki dan 4 orang wanita..

Imam Muslim meriwayatkan daripada Uthman bin Hakim al-Ansari, beliau (Uthman) pernah menanyakan Said bin Jubayr mengenai puasa Rejab (pada bulan Rejab. Said menjawab: “Aku mendengar Ibn Abbas mengatakan: “Rasulullah s.a.w berpuasa Rejab sehingga kami menyangka Baginda tidak berbuka (terus-menerus berpuasa) dan Baginda berbuka sehingga tidak nampak berpuasa.” (Sahih Muslim)

Perbanyakkanlah amalan seharian kita, semoga dengan kedatangan bulan yang dipenuhi dengan pelbagai kelebihan ini dapat kita manfaatkan sebaik yang mungkin. Tidak lama lagi kita akan bertemu dengan bulan yang penuh dengan keberkatan iaitu bulan Ramadhan. Berbaki 2 bulan lagi ini persiapkanlah diri kita sebaik yang mungkin agar kita dapat menjalani ibadah yang sempurna dalam Ramadhan yang mulia nanti..


YA ALLAH YA TUHAN KAMI BERKATILAH KAMI DI DALAM BULAN REJAB DAN SYABAN DAN BERIKANLAH KAMI REZEKI UNTUK MERASAI AKAN NIKMAT RAMADHAN..AMINN



TERUSKAN PEMBACAAN ANDA :) - Ahlan Ya Rajab

6/19/09

Tahaluf Dalam Islam


Tahaluf ialah perjanjian persefahaman bagi bekerjasama dan bantu-membantu untuk menghadapi lawan.

Persefahaman ini berlaku di kalangan sesama Islam seperti yang dilakukan oleh Rasulullah s.a.w. dengan Aus dan Khazraj yang membawa kepada penyatuan umat di bawah panji-panji dan tertegaknya negara Islam.

Hal ini juga berlaku dengan kumpulan bukan Islam seperti persefahaman dengan Bani Hasyim dan Bani Abdul Mutalib yang berlaku sebelum hijrah dan persefahaman dengan kabilah Khaza’ah selepas “Perjanjian Hudaibiyah”.

Rasulullah s.a.w. mengiktiraf half al-fudul yang berlaku pada zaman jahiliyah apabila terbentuk satu persefahaman menentang kezaliman. Perkara ini terjadi setelah seorang lelaki dari kabilah Zubaid dizalimi oleh Aas bin Wa’il, lalu dia meminta pertolongan.

Akan tetapi tidak ada yang sanggup untuk menolongnya, lalu beberapa orang daripada bangsawan Makkah yang bersimpati dengannya telah mengadakan persefahaman di rumah Abdullah bin Jad’an untuk menentang kezaliman tersebut.

Berhubung dengan peristiwa ini, Rasulullah s.a.w. telah bersabda, maksudnya:

Daripada Talhah bin ‘Abdullah bin ‘Auf, bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda: “Sesungguhnya aku telah menyaksikan di rumah Abdullah bin Jad’an satu pakatan yang aku amat suka kepadanya seperti saying kepada unta merah (barang yang sangat berharga), kalau aku diajak kepadanya di zaman silam nescaya aku menyahutnya.” (Riwayat Ibnu Ishaq)

Oleh itu, tahaluf telah menjadi suatu perkara yang berlaku dalam perjalanan Harakah Islamiyah menurut keperluan dan cabaran yang berlaku pada zaman masing-masing. Satu kajian yang mendalam perlu dibuat dan dibincangkan dengan teliti agar langkah yang diambil tidak bercanggah deng prinsip Islam yang mesti ditegaskan dalam semua keadaan.

Hukum Tahaluf

Tahaluf diizinkan oleh syariat berdasarkan kepada syarat-syaratnya.Untuk memahami syarat-syaratnya, hendaklah dikaji perbezaan di antara tahaluf yang dilangsungkan oleh Rasulullah s.a.w. dan ditolaknya.

Syarat-syarat Tahaluf


1.Membawa maslahah dan tidak mengikat sehingga menjejaskan prinsip

Dalil-dalilnya ialah:

a) Hubungan Rasulullah s.a.w. dengan keluarganya dari kalangan Bani Hasyim dan Bani Abdul Mutalib, khasnya Abu Talib. Walaupun mereka tidak menganut Islam, tetapi mereka mempertahankan Rasulullah s.a.w. sehingga sanggup berkorban apa sahaja.

Tetapi pernah Abu Talib membuat satu kenyataan seolah-olah supaya Rasulullah s.a.w. bertolak-ansur dalam perkara prinsip, lalu dengan tegasnya Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud: “Wahai bapa kesayanganku, demi Allah, kalau mereka meletakkan matahari di sebelah kananku dan bulan di sebelah kiriku agar aku meninggalkan urusan ini (menegakkan Islam), nescaya aku tidak akan meninggalkannya sehinggalah Allah memberi kemenangan kepada agamaNya atau aku mati kerananya.”

Akhirnya Abu Talib dan keluarganya kecuali Abu Lahab, mengambil keputusan untuk mempertahankan Rasulullah s.a.w.

b) Hubungan Abu Bakar al-Siddiq r.a. dengan Ibn Daghnah yang bersedia untuk memberi perlindungan kepada beliau dibatalkan. Hal ini terjadi apabila Ibn Daghnah mensyaratkan kepada Abu Bakar supaya jangan beliau membaca al-Quran di luar rumah kerana bimbang boleh mempengaruhi orang lain kepada Islam.

Contoh maslahat yang diizinkan: a.Ke arah kedaulatan Islam dan pelaksanaan syariatnya. Dalam situasi kegagalan idealogi-idealogi asing dan kebuntuannya menyelesaikan masalah, terdapat kumpulan orang- orang Islam yang jahil dan terjebak ke dalam idealogi bukan Islam dan kumpulan orang bukan Islam yang memberi kesempatan kepada perlaksanaan Islam,

maka mestilah diadakan hubungan dengan mereka ke arah dalam memberi sokongan kepada perjuangan kita dalam pilihanraya, dalan persidangan dewan dan sebagainya, dengan syarat mereka bersedia untuk menerima kepimpinan Islam, mengakui kedaulatan dan perlaksanaan dengan sepenuhnya dan kita tidak memaksa mereka untuk menganut Islam (tetapi mengambil peluang memperkenalkan Islam kepada mereka).

Dalilnya ialah perjanjian Rasulullah s.a.w. di Madinah dengan orang-orang Yahudi.
b.Menentang kezaliman, penyelewengan dan keruntuhan moral Apabila perkara ini merupakan perkara-perkara yang dirasai kesan dan akibatnya kepada semua golongan, termasuk golongan bukan Islam, maka boleh diadakan persefahaman dalam perkara ini.

Contohnya, bekerjasama di dalam usaha mendesak pembebasan tahanan dan sebagainya kerana Rasulullah s.a.w. mengiktiraf half al-fudul serta mengakui pakatan dan persefahaman golongan yang menentang perjanjian pemulauan ke atas keluarga Rasulullah s.a.w. walaupun mereka tidaklah sampai ke peringkat mengakui kedaulatan Islam.

Dan sabda Rasulullah s.a.w., maksudnya:

Diriwayatkan daripada Jabir r.a. katanya: Dua orang anak muda yang mana salah seorang di antaranya dari kaum Muhajirin dan seorang lagi dari kaum Ansar sedang bertengkar.Seorang dari kaum Muhajirin atau mungkin juga beberapa orang dari kaum Muhajirin berteriak: Wahai orang Muhajrin! Manakala kaum Ansar berteriak: Wahai orang Ansar! Setelah mendengar suasana begitu Rasulullah s.a.w keluar dan bersabda: Ada apakah panggilan seperti Jahiliyah ini? Mereka menjawab: Tidak ada apa-apa wahai Rasulullah. Hanya ada dua anak muda sedang bertengkar di mana salah satu dari keduanya berusaha memukul bahagian tubuh yang satunya. Rasulullah s.a.w bersabda: Kamu tidak perlu menyembunyikan persoalan. Seharusnya kamu menolongnya baik yang zalim mahupun yang dizalimi. Terhadap yang zalim, maka hendaklah beliau mencegah kezalimannya. Sesungguhnya itu bererti telah menolongnya. Manakala terhadap yang dizalimi hendaklah beliau membelanya." (Riwayat Muslim)


2.Mengakui kepimpinan Islam dan tidak menjejaskan matlamat perjuangan

Dalilnya:

a) Rasulullah s.a.w. telah menangguhkan tahaluf dengan Bani Syaiban apabila mereka tidak bersedia untuk bersama-sma menegakkan negara Islam dan mempertahankannya.

Hal ini terjadi apabila Bani Syaiban menyatakan ketidaksanggupan untuk berhadapan denga Parsi tetapi hanya sanggup menghadapi kabilah Arab sahaja.

b) Rasulullah membatalkan cadangan untuk bertahaluf dengan Bani ‘Amir apabila mereka mahu berkongsi jawatan kepimpinan negara tanpa menerima Islam.

3.Tidak berwala’ kepada musuh dan tidak redha dengan pegangan mereka


Di antaranya ialah mengakui kepimpinan orang-orang bukan Islam dan bertahaluf dengan musuh-musuh Islam untuk memerangi orang-orang Islam.

Firman Allah s.w.t., maksudnya:

“Janganlah orang-orang yang beriman mengambil orang-orang kafir menjadi teman rapat dengan meninggalkan orang-orang yang beriman.Dan sesiapa yang melakukan (larangan) yang demikian maka tiadalah ia (mendapat perlindungan) dari Allah dalam sesuatu apapun, kecuali kamu hendak menjaga diri daripad sesuatu bahaya yang ditakuti dari pihak mereka (yang kafir itu). Dan Allah perintahkan supaya kamu beringat-ingat terhadap kekuasaan diriNya (menyeksa kamu). Dan kepada Allah jualah tempat kembali.” (Ali ‘Imran: 28)

Berwala maknanya menjadikan sebagai pemimpin, teman yang akrab, pelindung atau penolong. Keadaan takut adalah darurat. Kesetiaan dalam keadaan itu dilahirkan secara zahir, tetapi hatinya tidak redha di samping berusaha untuk membebaskan diri dengan merancang bagi meneruskan perjuangan dengan berhijrah dan sebagainya.

Muwada’ah

Di sana terdapat satu persefahaman secara sementera waktu dengan golongan yang bermusuh kerana maslahah. Persefahaman ini dinamakan muwada’ah dan ada juga ulama’ meletakkannya dalam perkara hadanah (gencatan senjata).

Disebut dalam “Syarah Muhazzab” (karangan Imam Nawawi), di antara maslahahnya ialah mengharapkan mereka masuk Islam, mereka akan membayar jizyah atau menolong kerana memerangi golongan lain. Tetapi para ulama’ bertelingkah dalam menentukan tempoh masanya.

Ada yang menghadkan setakat empat bulan sahaja dan ada juga yang mengharuskan menurut maslahah (di antaranya ialah orang-orang Islam masih berada dalam keadaan lemah). Adapun jika tiada apa-apa maslahat atau mudaratnya lebih banyak daripada maslahah, maka ia tidak diharuskan.

Isti’anah (Meminta Bantuan atau Pertolongan)

Apabila adanya persefahaman, maka berlakulah tolong-menolong, iaitu mereka berjanji untuk menolong kita dan kita berjanji untuk menolong mereka.

1.Mereka menolong kita

Menurut Syeikh Sayid Sabiq dalam “Fiqh al-Sunnah”, adalah harus bagi kita untuk menerima pertolongan daripada golongan munafik dan fasik kerana Rasulullah s.a.w. pernah membenarkan Abdullah bin Ubai (seorang minafik) menyertai peperangan bersama-sama baginda.

Juga kisah penyertaan Abu Mahjan (seorang fasik) yang mabuk dalam peperangan menentang Parsi. Adapun pertolongan daripada orang-orang kafir, terdapat kekhilafan di kalangan fuqaha’:

a)Imam Malik dan Imam Ahmad tidak mengharusnya secara mutlak
b)Imam Abu Hanifah mengharuskannya dengan syarat orang-orang Islam yang menguasai urusan
c)Imam Syafi’I mengharuskannya dengan syarat:
a.Apabila orang-orang Islam berada di dalam keadaan lemah
b.Apabila didapati orang-orang bukan Islam cenderung kepada Islam dan memandang baik terhadapnya, dibenarkan dia memberi pertolongan dengan diberi imbuhan dan bukannya bahagian ghanimah.

2.Kita menolong mereka

Menurut al-Sarkhasi di dalam kitabnya “al-Mabsut”, dan al-Syaibani di dalam kitabnya “al-Siyar al-Kabir”, Rasulullah s.a.w. menghantar tamar ‘Ajwat kepada Abu Sufyan dan mengutus lima ratus dinar ke Makkah supaya dibahagikan kepada orang yang perlu dibantu ketika Makkah dilanda kemarau.

Menurut Ibn Qaiyim al-Jauziyah di dalam kitabnya, “Zad al-Ma’ad”, apabila Sumamah bin al-Sal r.a., pemimpin Bani Hanifah memeluk Islam, beliau memerintahkan supaya jangan dihantar bekalan gandum ke Makkah sehingga penduduk Makkah berada dalam keadaan kesempitan hidup. Lalu pemimpin-pemimpin Makkah merayu kepada Rasulllah s.a.w. menasihatkan Sumamah agar menghentikan sekatannya.

Tahaluf dapat dibahagikan menurut keadaan berikut: 1.Dalam peringkat membentuk kerajaan hendaklah dengan syarat:

a)Kepimpinan mestilah di tangan orang Islam
b)Mengiktiraf negara Islam
c)Menerima perlembagaan Islam dan syariatnya


2.Tahaluf tanpa membentuk negara:

a)Kerana maslahah untuk menghadapi musuh yang lebih besar

b)Masalah bersama untuk menentang kezaliman, penyelewengan, membebaskan orang-orang tahanan dan sebagainya
c)Berlindung sementara ketika lemah
d)Tidak terikat dengan syarat yang bercanggah dengan Islam dan kepentingan Harakah Islamiyah


Dalam situasi sekarang, hendaklah diberi perhatian kepada beberapa perkara yang boleh menjejaskan maslahah, di antaranya ialah seperti berikut:

1. Matlamat menegakkan negara Islam adalah sangat penting dalam strategi yang diambil oleh Harakah Islamiyah. Oleh itu, jangan terikat dengan janji yang akan menghalangnya atau syarat-syarat yang akan mengikat.

2. Mengutamakan persefahaman dengan kumpulan-kumpulan Islam yang berpengaruh dan yang mempunyai titik pertemuan dengan perkara prinsip yang boleh dipercayai, bukannya yang lemah yang tidak berperanan. Kemudian itu, dengan kumpulan-kumpulan yang bukan Islam.

3. Kita sedang berhadapan dengan masyarakat yang cetek pemahamannya terhadap Islam, di mana mereka tidak mengetahui perbezaan Islam dengn idealogi-ideologi moden. Oleh itu, golongan Islam hendaklah mempunyai syakhsiyah yangkuat yang dapat membezakan mereka dengan parti-parti lain dan perlu diberi kefahaman kepada mereka tentang perbezaan di antara Islam dan idelogi-ideologi moden.Kalau tidak, tahaluf dengan kumpulan bukan Islam lebih memberikan kesan negatif.

4. Persefahaman dengan kumpulan-kumpulan bukan Islam tidak berpanjangan, samada mereka akan menerima Islam atau pertarungan akan berlaku juga pada akhirnya. Oleh itu, hendaklah membuat ikatan-ikatan yang longgar yang tidak akan membelenggu kita di belakang hari.

5. Di sana akan keluar kenyataan-kenyataan bersama yang perlu dipertimbangkan dengan tegas dari segi prinsip kita kerana kenyataan-kenyataan itu bukan sahaja perlu mengikut selera kita, tetapi perlu juga menurut selera mereka.

6. Berwaspada terhadap tipu daya mereka dengan bergantung kepada Allah s.w.t dan kebijaksanaan kurniaanNya.


Nas-nas dikaji menunjukkan tahaluf boleh dilakukan secara melibatkan gerakan menguasai negara secara menyeluruh dan secara khusus menghadapi isu-isu atau situasi-situasi yang khusus dengan memenuhi syarat-syarat yang tersebut di atas

TERUSKAN PEMBACAAN ANDA :) - Tahaluf Dalam Islam

6/17/09

Uslub Dakwah Da'ie



Uslub dakwah merupakan satu istilah yang tidak pernah lekang dari bibir setiap petugas dakwah. Oleh kerana ia telah menjadi suatu perkara yang biasa disebut, maka ia tidak lagi berhajat kepada penghuraian.

Lantaran itu, hampir setiap pendakwah mentafsirkan uslub dakwah menurut kacamata mereka masing-masing, sesuai dengan perkumpulan yang mereka wakili. Dari situ satu huraian lengkap berhubung dengan uslub dakwah diperlukan bagi menjamin seseorang pendakwah itu tidak menyeleweng dari landasan penafsiran. Ianya mestilah bermula dari Al-Quran yang telah dijamin kebenarannya oleh Allah s.w. t.

USLUB DAKWAH MENURUT AL-QURAN

Di dalam Al-Quran, ayat yang menyebut perkataan uslub sebenarnya tidak ada. Apa yang ada ialah permahaman yang boleh diambil sewaktu Allah s.w.t. berfirman memerintah manusia menyeru ke jalanNya. Firman Allah s.w.t. yang bermaksud:

“Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmah kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik, dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik; sesungguhnya Tuhanmu Dialah jua yang lebih mengetahui akan orang yang sesat dari jalanNya, dan Dialah jua yang lebih mengetahui akan orang-orang yang mendapat hidayah petunjuk." (Al-Nahl: 125)

Apabila persoalan uslub di dalam ayat di atas diletakkan selepas daripada seruan dakwah, ia menunjukkan bahawa uslub adalah perkara kedua. Perkara paling utama ialah menyeru manusia terlebih dahulu ke jalan Allah, Tuhan yang menciptakan mereka.

Kesedaran ini perlu diutamakan terlebih dahulu, barulah berbincang mengenai uslub dakwah. Apa yang berlaku dalam masyarakat hari ini ialah kecenderungan membincangkan uslub terlebih dahulu. Setelah mereka berselisih dalam persoalan uslub dakwah, bagaimana mereka boleh bersatu dalam menjalankan tugas dakwah.

Usaha menentukan uslub siapa yang lebih betul sudah cukup membuang masa seseorang petugas Islam. Sedangkan Tuham menyuruh mereka memulakan tugas dakwah terlebih dahulu, kemudian dalam mengolah dakwah barulah timbul persoalan. S

ebagaimana yang kita sebutkan sebentar tadi, perkataaan uslub secara jelas tidak disebut dalam Al-Quran, namun begitu perkataan yang hampir sama dengan pengertian uslub telah disebutkan oleh Allah dalam firmanNya yang bermaksud:

“Wahai orang-orang yang beriman! Bertaqwalah kepada Allah dan carilah yang boleh menyampaikan kepadaNya (dengan mematuhi perintahNya dan meninggalkan laranganNya); dan berjuanglah pada jalan Allah (untuk menegakkan Islam) supaya kamu beroleh kejayaan.” (Al-Ma’idah: 35)

Ayat di atas menggesa orang mukmin supaya bertaqwa dan mencari jalan serta cara yang menyampaikan mereka kepada taqwa. Oleh kerana jalan menuju Allah tidak boleh dinamakan uslub, maka kalimah yang dipakai ialah al-wasilah.

Dengan ini al-wasilah lebih luas pengertiannya dari uslub sebagaimana ia juga lebih umum dari pengertian uslub. Dari itu, kesimpulan yang boleh kita buat ialah uslub bermaksud teknik-teknik yang boleh digunakan bagi mencapai sesuatu matlamat.

Berdasarkan kefahaman ini ia lebih merujuk kepada pengertian yang agak khusus dan agak tertumpu kepada unsur -unsur kepakaran dalam menjalankan sesuatu tugas. Jika disatukan pengertian ini dalam konsep gabung jalin antara kalimah uslub dan dakwah, maka ia bermaksud teknik-teknik yang perlu diambil kira dalam proses menyampaikan dakwah dan menyeru manusia kepada jalan Allah atau lebih khusus lagi kepada pengabdian diri kepada Allah, menjauhi taghut, melakukan yang makruf dan mencegah yang mungkar.


Kefahaman Ayat 125 surat Al-Nahl Dari Kacamata Uslub Dakwah


Ayat yang disebut sebentar tadi membuat beberapa garis panduan dalam perlaksanaan dakwah iaitu kewajipan menyeru manusia ke jalan Allah. Penyeruan inilah yang dinamakan dakwah. Dalam proses penyeruan ini hendaklah diketahui cara- caranya, supaya dakwah itu boleh sampai kepada mereka.

Inilah yang dikatakan kemahiran dan inilah uslubnya.Uslub dakwah yang dibentangkan secara tidak langsung oleh ayat tadi ialah:

a)Hikmah

b)Nasihat-nasihat yang baik

c)Bertukar-tukar fikiran dengan cara yang lebih baik

USLUB HIKMAH

Uslub hikmah dalam menyampaikan dakwah dapat dibahagikan kepada tiga bahagian iaitu:

•Hikmah yang berhubung dengan sifat-sifat pendakwah di jalan Allah hendaklah bersifat menurut sifat-sifat Nabi seperti benar, amanah, bijaksana dan tabligh, berlaku adil, tidak lekas marah, sabar dan mempunyai pengetahuan serta pengalaman yang luas.

•Hikmah berhubung dengan isi kandungan dakwah. Ia bermakna pendakwah ke jalan Allah hendaklah menyampaikan isi kandungan dakwah itu dari kandungan Al-Quran dan segala penerangan hendaklah menepati kebenaran serta dalil-dalil yang kuat dan tepat yang boleh mengurangkan keraguan. Kata-kata yang digunakan hendaklah sesuai dengan kemampuan pendengar.

•Hikmah yang berhubung dengan alat dan strategi dakwah. Segala alat dan strategi yang digunakan betul-betul sesuai dengan tempatnya untuk mencegah berlakunya kerosakan kepada gerakan dakwah itu sendiri.

USLUB NASIHAT YANG BAIK


Nasihat yang baik ialah persanan dan ingatan dengan apa yang disukai oleh orang ramai tentang kebaikan dan mereka bersedia menerimanya dan benci kepada kejahatan serta mereka akan menjauhinya.

Boleh juga difahami dengan nasihat yang baik ialah nasihat yang masuk ke dalam hati dengan halus dan mendalam, menembusi perasaan dan jiwa dengan lembut, kerana berlemah lembut dalam nasihat itu biasanya boleh memberi petunjuk kepada hati yang sesat dan boleh menjinakkan hati yang liar dan boleh mendatangkan natijah yang lebih baik.

Cara nasihat yang baik bergantung kepada perbandingan di antara iman dan kufur, antara kebaikan dan kejahatan, antara taat dan maksiat, antara halal dan haram.

Firman Allah s.w.t. yang bermaksud:

“Sesungguhnya telah berlaku sebelum kamu (contoh kejadian-kejadian berdasarkan) peraturan-peraturan Allah yang tetap; oleh itu mengembaralah kamu di muka bumi, kemudian perhatikanlah bagaimana akibat orang-orang yang mendustakan ( Rasul-rasul).” (Ali-‘Imran: 137)

USLUB BERBINCANG DENGAN CARA BAIK

Para da’i hendaklah menjalankan dakwahnya dengan mengikuti cara yang lemah-lembut dalam perkataan dan menjauhkan kelakuan yang kasar dan kesat.

Gunakanlah sebaik-baik cara berhubung dengan tujuan untuk menjauhkan pendengar-pendengar yang didakwahkan itu dan merasa bahawa pendakwah itu menyerang aqidah yang mereka mempertahankannya. Perancangan cara begini adalah lebih kuat, berpengaruh dan berkesan.

Firman Allah s.w.t yang bermaksud:

“Dan janganlah kamu berbahas dengan Ahli Kitab melainkan dengan cara yang lebih baik, kecuali orang-orang yang berlaku zalim di antara mereka; dan katakanlah (kepada mereka) : “Kami beriman kepada (Al-Quran) yang diturunkan kepada kami dan kepada (Taurat dan Injil) yang diturunkan kepada kamu; dan Tuhan kamu, juga Tuhan kamu, adalah Satu; dan kepadaNyalah, kami patuh dengan berserah diri.” (Al-Ankabut: 46)

Inilah juga firman Allah s.w.t. kepada Nabi Musa a.s. dan saudaranya Harun a.s. ketika mereka diutuskan oleh Allah s.w.t. kepada Firaun yang sombong. Sungguhpun begitu, Allah s.w.t. memerintahkan mereka supaya berlemah-lembut.

FirmanNya yang bermaksud:

“Pergilah kamu berdua kepada Firaun, sesungguhnya ia telah melampaui batas dalam kekufurannya. “Kemudian hendaklah kamu berkata kepadanya, dengan kata-kata yang lemah-lembut, semoga ia beringat atau takut.” (Taha: 43-44)

Apabila Allah s.w.t. menyatakan supaya dalam berbincang mestilah dengan cara yang baik, maka para da’i perlulah membuat persiapan terlebih dahulu dan segi hujah, latihan, teknik, berbincang yang terbaik, supaya lahir seorang da’i yang mempunyai karisma yang tinggi dalam berdiskusi.

Kalau tidak adalah lebih baik jika dia tidak memberikan kesanggupan dari awal semasa proses temujanji dilakukan. Kalau ia mempunyai fakta yang lengkap dan cukup jitu, maka ia tidak akan mudah panas baran dan melenting apabila dicemuh atau diserang kerana dia tahu peluru yang ada padanya mencukupi serta mampu menjawab semua hujah musuh atau orang-orang yang diseru kepada Islam.

Pendakwah kadang-kadang mudah naik angin dengan berbagai-bagai soalan kerana tiada persiapan. Dia akan bimbang sekiranya persoalan itu mematikan ideanya untuk berhujah. Boleh jadi ada orang bertanya, jika pendakwah selalu berlembut dan memilih perbincangan dengan cara yang baik maka bilakah masanya akan berlaku keras.

Kita menjawab keras boleh berlaku tetapi dalam kadar dan ruang lingkup membalas setara dengan apa yang mereka lakukan. Kalau dalam peperangan sekalipun Islam tidak cenderung kepada kekasaran tetapi lebih kepada unsur membalas setara dengan apa yang dilakukan. Maka di dalam dakwah sifat ini lebih dituntut kerana peringkat ini ialah peringkat dakwah iaitu seruan dan pemberian maklumat perintah Islam.

Manakala, peringkat perang ialah peringkat jihad. Lagi pula kalau kasar merugikan dan lemah lembut tidak merugikan maka baiklah kita berlaku lembut kerana kita tidak akan cepat kehabisan peluru. Barangkali peluru akan digunakan dengan begitu waspada sekali. Kalau peluru dilepaskan dilepaskan bertubi-tubi dengan begitu kasar sekali boleh jadi kehancuran akan berlaku.

Sedangkan pendakwah tidak lebih dari seorang doktor untuk merawat pesakit supaya ia sembuh bukan bertujuan untuk membunuhnya. Satu hakikat yang sering berlaku ialah musuh lebih mudah hilang pertimbangan dalam menghadapi dakwah samada mereka dari awal-awal lagi menolak apa-apa perbincangan atau mereka lebih mudah cenderung kepada hilang pertimbangan.

Sekiranya segala cara telah dilakukan namun mereka masih menolak dakwah maka para da’I tidak seharusnya dihantui oleh fikiran bahawa mereka telah gagal melaksanakan amanah mereka. Ini kerana soal hidayah dan penerimaan mad’u terhadap dakwah adalah dalam ruang lingkup kehendak mutlak Allah s.w.t.
TERUSKAN PEMBACAAN ANDA :) - Uslub Dakwah Da'ie