kebahagiaan..

Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers

10/4/09

Negara Islam..


Ya Allah jadikanlah kami sebagai pejuang agamaMu..

DALAM dunia politik hari ini, berbagai-bagai istilah yang disabitkan dengan pemerintahan telah dicipta oleh manusia, namun kebanyakan mereka bermuafakat tentang istilah, tetapi berbeza pendapat tentang pengertian atau definisinya.

Terdapat pula istilah yang mempunyai makna yang serupa, tetapi mempunyai beberapa perbezaan yang segi amalan dan perlaksanaan.

Malah kadang-kadang terdapat yang bertentangan antara satu sama lain. Inilah yang dikatakan 'sama tapi tidak serupa'.

Istilah politik itu sendiri, kebanyakan kita sepakat menggunakan namanya tetapi diberi istilah yang berbeza. Contohnya dalam masyarakat Greek digunakan istilah politik sebagai 'anak watan dan hak-haknya dalam negara'.

Di waktu lain mereka menggunakan istilah politik sebagai pemerintah yang sedang menjalankan urusan pemerintahannya dan terdapat yang menggunakan istilah itu sebagai polisi negara dan tipu muslihatnya.

Dalam sistem kita hari ini itulah yang berlaku, iaitu kita menerimapakai istilah politik tetapi memberi pengertian yang berbeza.

Ada antara kita yang merujuk politik sebagai ilmu pengetahuan berkenaan cara pemerintahan kepada dasar dan polisi sesebuah negara, ada yang merujuk kepada suatu kaedah yang dipergunakan oleh pemerintah sebuah negara dan hubungannya dengan negara lain.

Politik juga dikaitkan dengan kelicikan dan maslahat sesuatu tindakan.

Kalaulah istilah politik itu sudah bercelaru apatah lagi dengan istilah demokrasi yang sama istilahnya tetapi mempunyai pengertian yang amat berbeza.

Demokrasi adalah sistem pemerintahan yang dipilih rakyat melalui wakil-wakil mereka. Ada yang mengatakan pemerintahan rakyat untuk rakyat dan tidak kurang yang mengatakan demokrasi itu adalah kuasa rakyat untuk rakyat.

Kalau itulah realitinya, maka demikian pula dalam menggunakan istilah Negara Islam, memang sesuatu yang telah menjadi lumrah dan dipergunakan secara berleluasa oleh banyak pihak termasuk U***

Namun apakah pemahaman sebenar mereka terhadap penggunaan istilah Negara Islam itu? Mereka begitu mudah menerimapakai istilah Negara Islam dengan hanya merujuk kepada pemerintah dan majoriti rakyatnya beragama Islam.

Jika itulah pemahaman mereka, maka seluruh negara umat Islam hari ini terutamanya yang menganggotai Persidangan Negara-negara Islam (OIC), tanpa kecuali semuanya adalah Negara Islam.

Akan tetapi realitinya tidak demikian kerana negara yang mengistiharkan mereka sebagai Negara Islam hanya beberapa buah sahaja, namun boleh dipertikaikan adalah mereka itu Negara Islam sebenar.

Istilah Negara Islam sebenar tidak boleh lari dari apa yang diasaskan oleh Rasulullah s.a.w. Negara Islam yang ulung ditubuhkan di Madinah dalam tahun 623M bersamaan dengan tahun ke 2H.

Negara Islam Madinah adalah contoh benar yang perlu difahami dan dihayati maknanya. Dalam hubungan ini Allah SWT berfirman dalam Surah al-Ahzab, ayat 21, mafhumnya:

"Sesungguhnya telah ada pada perbuatan Rasulullah itu contoh teladan yang amat baik bagimu..."

Sebagai muslim, tiada contoh yang lebih baik dalam lapangan kehidupan melainkan yang diambil dan ditiru dari perbuatan Rasulullah.

Dalam hal ketatanegaraan, Nabi Muhammad telah menunjukkan contoh seperti yang diperintah kepadanya oleh Allah SWT. Dengan sifat-sifatnya yang jelas seperti yang ditunjukkan dalam Surah al-Hajj, ayat 41 yang mahfumnya:

"Orang-orang yang Kami perteguhkan kedudukan mereka di muka bumi (pemerintah Negara Islam), mendirikan solat, menunaikan zakat, menyuruh berbuat yang maaruf dan mencegah dari perbuatan mungkar; dan kepada Allah-lah kembali segala urusan (berserah dan bertawakkal)."

Ayat ini, jika dirujukkan kepada tafsir al-Quran yang muktabar, diberi pengertian yang mendalam dengan merujuk kepada makna yang falsafi di setiap perkataan ayat itu.

Dalam tafsir al-Maraaghi misalnya, perkataan mendirikan solat, dihurai sebagai mentaati perintah Allah SWT dan melaksanakan hukum-hukum Islam dengan sebaik mungkin.

Solat itu sendiri adalah lambang kepatuhan mutlak kepada Allah SWT, meskipun perintah solat itu tidak difahami bersungguh-sungguh seperti mengadap kiblat, mengangkat tangan takbir, qiam tangan, tunduk rukuk, bangun, sujud dan sebagainya, tidak semestinya difahami tujuan perbuatan itu dipatuhi, namun solat seperti yang diperintahkan Allah mesti dilakukan sepenuhnya.

Sekiranya sengaja meninggalkan satu rukun sahaja, maka tidak sah didirikan solat itu.

Rujukan : Dr Haron Din - kearah memahami negara Islam sebenar..