kebahagiaan..

Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers

8/29/09

Feqh Amal Islami (1)


Memahami Islam, perjuangan dan gerak kerjanya adalah suatu perkara yang sangat mustahak bagi setiap orang yang mungkin menceburkan dirinya di dalam perjuangan Islam. Jika tidak, mungkin kegiatan dan tindakannya akan bertentangan dan menyimpang jauh dari kehendak Islam. Akhirnya gerakan menjadi hancur dan para pejuang menjadi mangsa.

Kertas ini cuba memberi gambaran ringkas berkenaan tajuk “kefahaman” agar setiap yang terlibat dapat menilai dan membuat keputusan dan tindakan yang betul selaras dengan kehendak Islam.

MEMAHAMI ISLAM
Semua yang terlibat di dalam gerakan Islam memahami:

a) Bahawa Islam itu agama yang lengkap, merangkumi seluruh bidang kehidupan manusia, aqidah dan syariah, agama dan negara. Oleh kerana itu, ia mestilah bersedia untuk membetulkan aqidahnya, ibadahnya dan lain-lain perkara supaya selaras dengan kehendak al-Quran dan as-Sunnah.

b) Ia hendaklah memahami bahawa al-Quran, as-Sunnah, al-Ijma’ dan al-Qias itu merupakan rujukan bagi orang-orang Islam, pendapat sesiapa jua pun yang bertentangan dengan sumber-sumber tersebut tidak boleh dihormati dan dipatuhi.

c) Oleh itu, pendapat pimpinan yang tidak berlawanan dengan sumber-sumber tersebut hendaklah dihormati dan dipatuhi sekalipun tidak sama dengan pendapat sendiri.

d) Perselisihan pendapat dalam masalah furu’ adalah perkara boleh dan tidak dapat dielakkan. Oleh kerana itu, setiap muslim yang belum mencapai martabat ijtihad hendaklah ia menerima pakai mana-mana pendapat alim ulama’ yang mu’tabar dan janganlah dijadikan berlainan pendapat serta pandangan dalam masalah furu’ itu punca pertelingkahan dan perpecahan dikalangan anggota.

e) Setiap anggota hendaklah faham, ia tidak boleh mengkafirkan seseorang yang mengucap dua kalimah syahadah selama mana ia beramal dengan tuntutan dan kehendak dua kalimah syahadah itu dan selama mana ia tidak mengeluarkan kata-kata yang menjadikan seseorang itu terkeluar daripada Islam atau ia mengingkari sesuatu yang diketahui secara dharuri atau secara mudah dan tidak payah berfikir di dalam Islam.

Seperti ia mengingkari haramnya ‘riba’ atau haramnya ‘arak’ atau ia mengingkari seperti wajibnya menjalankan syariat Islam dalam pemerintahan negara atau selama mana ia tidak melakukan perbuatan yang boleh dita’wilkan kecuali kufur, seperti ia menyembah berhala atau seperti ia menghina kitab suci al-Quran al-Karim.

MEMAHAMI HAKIKAT PERJUANGAN ISLAM

Untuk memahami perjuangan Islam, kita haruslah merujuk kepada kandungan satu hadis Nabi yang diriwayatkan oleh seorang sahabat yang bernama Suhain ar-Rumi. Antara isi kandungannya ialah:

1) Bahawa Islam seperti kita fahamkan itu, merupakan suatu perjuangan yang sambung-menyambung dan tali menali dari segi perjuangan yang pernah diperjuangkan oleh para anbiya’ dan mursalin, bermula dari perjuangan Nabi Allah Adam a.s sampailah kepada perjuangan Nabi Muhammad SAW yang disambung semula secara terus-menerus oelh para sahabat, tabi’in dan orang-orang yang datang selepas mereka hingga ke hari ini dan hari yang akan datang.

2) Perjuangan ini sering bermuwajahah dengan golongan yang berkuasa di dalam masyarakat terutamanya para pemerintah yang tidak berdasarkan kepada Islam dan sekaligus menjadi penghalang kepada kerja-kerja Islam. Hal ini boleh dilihat dengan jelas, bila kita cuba mengingati perjuangan Nabi Ibrahim a.s yang ditentang oleh Namrud, Nabi Musa a.s ditentang oleh Firaun dan lain-lain. Bukan sahaja ia menjadi penghalang tetapi juga berusaha sedaya mungkin untuk mempertahankan dasar pemerintahannya. Hatta walaupun para pemimpin yang ada itu pergi, namun mereka tetap mahu melihat bahawa dasar pemerintahannya itu terus wujud dan kekal.

3) Untuk menjamin sistem pemerintahan yang mereka anuti itu kekal, bermacam-macam usaha yang mereka lakukan. Antaranya mengadakan pasukan pertahanan yang kuat, pasukan keselamatan yang rapi, sistem pendidikan dan pembelajaran bermatlamat, para petugas dan pegawai yang terlatih kepimpinan masyarakat yang berkeyakinan, sumber ekonomi yang terjamin dan sebagainya.

4) Pertentangan antara pejuang Islam dengan pihak yang berkuasa di dalam sesuatu masyarakat itu bukan disebabkan oleh hal-hal yang berkaitan dengan peribadi, tetapi merupakan pertembungan aqidah dan dasar. Hal ini jelas, bila kita mengingati kembali perhubungan di antara Nabi Musa a.s dan Firaun, sebelum menjadi Nabi dan selepas ia diutus menjadi Rasul, hubungan di antara Nabi Muhammad SAW dengan para pemimpin masyarakat Quraisy.

Sebelum diangkat menjadi Nabi, baginda disanjung tinggi oleh masyarakat Quraisy sehingga baginda digelar ‘Al-Amin’. Hal ini berubah apabila baginda diisytiharkan menajdi Nabi. Gelaran al-Amin itu bertukar menjadi ahli sihir, gila, pendusta dan lain-lain. Di zaman kini juga, tidak kurang contohnya yang boleh diambil faham oleh para da’i, khususnya di dalam negara kita yang tercinta ini. Terdapat beberapa orang individu yang pernah dikenakan tindakan undang-undang ke atas mereka sewaktu berada di dalam perjuangan Islam atas alasan yang pelbagai tetapi orang yang sama mendapat sanjungan pihak yang berkuasa apabila meninggalkan perjuangan Islam.

MEMAHAMI ISLAM DARI SUDUT GERAK KERJA UNTUK MENEGAKKANNYA

Untuk memahami Islam dari sudut ini pula, kita haruslah memerhatikan beberapa ayat yang antara lainnya seperti firman Allah, maksudnya:

“Muhammad itu adalah utusan Allah dan orang-orang yang bersama dengan dia adalah keras terhadap orang-orang kafir, tetapi berkasih sayang sesama mereka; kamu lihat mereka ruku’ dan sujud mencari kurniaan Allah dan keredhaanNya, tanda-tanda mereka nampak pada muka mereka dari bekas sujud. Demikianlah sifat-sifat mereka dalam Taurat dan sifat-sifat mereka dalam Injil, iaitu seperti tanaman yang mengeluarkan tunasnya, maka tunas itu menjadikan tanaman itu kuat lalu menjadi besarlah ia dan tegak lurus di atas pokoknya; tanaman itu menyenangkan hati penanam-penanamnya kerana Allah hendak menjengkelkan hati orang-orang kafir (dengan kekuatan orang-orang mu’min). Allah menjanjikan kepada orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal soleh di antara mereka ampunan dan pahala besar”. (al-Fath : 29)

Dari ayat ini, jelas proses perkembangan perjuangan Islam itu. Di mana ia bermula dengan hanya seorang sahaja iaitu Nabi Muhammad SAW. Kemudian ia berkembang daripada seorang kepada seorang yang lain sehingga menjadi suatu kekuatan yang tidak dapat dibendung lagi oleh para penentangnya.

Adapun proses perkembangan dan gerak kerja yang dilakukan oleh baginda boleh kita dapati daripada pemerhatian kita akan ayat-ayat yang berikut: Firman Allah, maksudnya: “Bacalah dengan menyebut nama Tuhan engkau yang mencipta”. (al Alaq : 1) Firman Allah, maksudnya: “Dan berikanlah peringatan kepada keluargamu yang terdekat”.(as-Syu’ara : 214)

Firman Allah, maksudnya: “Dialah yang mengutuskan kepada kaum yang buta huruf seorang Rasul di antara mereka, yang membacakan ayat-ayatnya kepada mereka kitab dab hikmah. Dan sesungguhnya mereka sebelumnya benar-benar dalam kesesatan”. (al-Jumu’ah : 2)

Firman Allah, maksudnya: “Dan jadikanlah dirimu sentiasa berdamping rapat dengan orang yang beribadah kepada Tuhan mereka pada waktu pagi dan petang yang mengharapkan keredhaan Allah semata-mata”. (al-Kahfi : 28)

Firman Allah, maksudnya: “Tidakkah engkau melihat kepada mereka yang dikatakan kepada mereka tahanlah tangan-tanganmu dan dirikanlah sembahyang”. (an-Nisa’ : 77)

Firman Allah, maksudnya: “Maka berterus teranglah dengan apa yang diperintahkan kepada kamu dan janganlah kamu menghiraukan tindakan golongan musyrikin”. (al-Hijr : 94)

Firman Allah, maksudnya: “Dan siapkanlah untuk mereka kekuatan semampu mungkin”. (al-Anfaal : 60) Firman Allah, maksudnya: “Diizinkan bagi mereka berperang (untuk melakukan sesuatu tindak balas) kerana mereka telah di zalimi…”. (al-Hajj : 39)

Firman Allah, maksudnya: “Dan perangilah pada jalan Allah akan orang-orang yang memerangi kamu”. (al-Baqarah : 190) Memerhatikan ayat-ayat yang diutarakan di atas dengan baik dan memahaminya dengan halus dan lumat, saudara akan bertemu dengan makna dan maksudnya memahami Islam dari sudut gerak kerja untuk menegakkannya.

Bertambah terang lagi, apabila saudara membaca dengan teliti keseluruhan yang tersurat dan yang tersirat di dalam perbincangan yang akan datang.

No comments: